Artikel : Cara Failkan Saman Jika Majikan Cuai

Artikel ini adalah perkongsian dari Ir Mohamad Khalil Ishak, bekas jurutera mekanikal lulusan Bachelor of Engineering dari Melbourne, Australia. Beliau ialah pengasas syarikat Khalil Safety Consultant Sdn Bhd mempunyai Ijazah Sarjana dalam Pengurusan Keselamatan Industri dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan mempunyai pengalaman selama 25 tahun dalam bidang minyak dan gas.

Tahukah anda semua industri di negara ini tertakluk kepada dua akta iaitu; Akta Kilang dan Jentera (AKJ139) dan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP514). Akta ini memberi penekanan kepada majikan dan pemilik premis untuk bertanggungjawab ke atas mereka yang berada dan bekerja di premis mereka dengan mengadakan Sistem Kerja Selamat (Safety System of Work).Ini bermakna semua bangunan di dalam negara ini tertakluk di bawah dua akta ini kecuali berkaitan tentera dan kapal dagang. Mudahnya, tidak kira di mana anda berada, sama ada di sekolah, kedai, hotel atau tempat awam, sekiranya berlaku tragedi di tempat tersebut, pemilik premis itu harus bertanggungjawab.

Biasanya apabila terjadi kes kematian atau cacat kekal disebabkan kemalangan di tempat kerja, kita hanya akan terfikir, 'SOCSO ada, bolehlah bantu..'. Jumlahnya dapatlah sikit-sikit mengikut setengah daripada gaji akhir individu tersebut. Itu pun kalau majikannya mencarum, kalau tak melopong sajalah.

Tetapi tak ramai yang tahu, kita sebenarnya berhak menyaman majikan atau pemilik premis bangunan andai berlaku kematian atau kemalangan ketika kita berada di lokasi terlibat. Tindakan saman ini boleh diambil sama ada seseorang itu mencarum SOCSO atau pun tidak. Menyaman pemilik premis mungkin belum popular di negara kita tetapi di luar negara, mereka mempunyai satu unit seperti "Flying Squad" yang akan membantu keluarga mangsa yang teraniaya.

Jumlah saman pula boleh mencecah jutaan ringgit mengikut kepada kecederaan atau kehilangan yang dialami mangsa. Syaratnya, tuntutan mestilah dalam masa 6 tahun dari tarikh kecederaan.

Menurut kebiasaan, setelah sesuatu kemalangan itu terjadi, keluarga mangsa akan menyerahkan urusan siasatan kemalangan kepada pihak berkuasa seperti JKKP, Bomba dan Polis serta majikan dan sering tidak diberi maklum balas mengenai hasil siasatan.

Contohnya dalam kes kebakaran, kita hanya akan dapat mengetahui bahawa sistem pendawaian yang tidak mengikut spesifikasi adalah punca sesebuah bangunan itu terbakar, namun apakah tindakan kita selepas itu? Jika didapati terdapat kecuaian dari mana-mana pihak, kes kebakaran ini boleh di bawa ke mahkamah dan undang-undang kecuaian (Tort Law) boleh dikaitkan dengan ketidak-patuhan kepada akta dan peraturan yang sudah termaktub.

Proses saman ini akan melalui tiga peringkat iaitu;

  1. Ahli keluarga perlu melantik individu/syarikat yang mempunyai kepakaran dalam siasatan kemalangan industri/tempat kerja dan membawa hasil siasatan ke mahkamah melalui peguam yang juga mahir mengendalikan kes-kes kecuaian untuk tunjuak pampasan.
  2. Jika hasil siasatan mendapati wujudnya elemen kecuaian yang menyebabkan kemalangan terjadi, peguam yang dilantik akan mengeluarkan notis tuntutan dan membawa kes ini ke mahkamah sivil untuk dibicarakan.
  3. Sapina akan dikeluarkan kepada pihak yang bertanggungjawab demi pembelaan ke atas mangsa dan keluarga.

 

 

Artikel ini diolah dari portal remaja.my